Hari-hari
berlalu yang dilewati seakan sudah bertahun lamanya, namun yang perlu diakui
ialah ianya baru beberapa minggu lalu. Iya, hanya beberapa minggu lalu. Berita
itu aku sambut dengan hati yang diusahakan untuk berlapang dada. Benar, aku
berusaha berlapang dada. Terkadang, terasa nusrah Ilahi begitu hampir saat kita
benar-benar berada di tepi tebing, tunggu saat untuk menjunam jatuh ke dalam
gaung. Maha Suci Allah yang mengangkat aku, meletakkan aku kembali di jalan
tarbiyyah dan terus memimpin untukku melangkah dengan tabah.
Aku
hanya seorang insyirah. Tiada kelebihan yang teristimewa, tidak juga punya
apa-apa yang begitu menonjol. Jalan ku juga dua kaki, lihat ku juga menggunakan
mata, sama seperti manusia lain yang menumpang di bumi Allah ini. Aku tidak
buta, tidak juga tuli mahupun bisu. Aku bisa melihat dengan sepasang mata
pinjaman Allah, aku bisa mendengar dengan sepasang telinga pinjaman Allah juga
aku bisa bercakap dengan lidahku yang lembut tidak bertulang. Sama seperti
manusia lain.
Aku
bukan seperti bondanya Syeikh Qadir al-Jailani, aku juga tidak sehebat srikandi
Sayyidah Khadijah dalam berbakti, aku bukan sebaik Sayyidah Fatimah yang setia
menjadi pengiring ayahanda dalam setiap langkah perjuangan memartabatkan Islam.
Aku hanya seorang Insyirah yang sedang mengembara di bumi Tuhan, jalanku kelak
juga sama... Negeri Barzakh, insya Allah. Destinasi aku juga sama seperti
kalian, Negeri Abadi. Tiada keraguan dalam perkara ini.
Sejak
dari hari istimewa tersebut, ramai sahabiah yang memuji wajahku berseri dan
mereka yakin benar aku sudah dikhitbah apabila melihat kedua tangan ku memakai
cincin di jari manis. Aku hanya tersenyum, tidak mengiyakan dan tidak pula
menidakkan. Diam ku bukan membuka pintu-pintu soalan yang maha banyak, tetapi
diam ku kerana aku belum mampu memperkenalkan insan itu. Sehingga kini, aku
tetap setia dalam penantian.
Ibu
bertanyakan soalan yang sewajarnya aku jawab dengan penuh tatasusila.
"Hari
menikah nanti nak pakai baju warna apa?"
Aku
menjawab tenang.. "Warna putih, bersih..."
"Alhamdulillah,
ibu akan usahakan dalam tempoh terdekat."
"Ibu,
4 meter sudah cukup untuk sepasang jubah. Jangan berlebihan."
Ibu
angguk perlahan.
Beberapa
hari ini, aku menyelak satu per satu... helaian demi helaian naskhah yang
begitu menyentuh sanubari aku sebagai hamba Allah. Malam Pertama... Sukar
sekali aku ungkapkan perasaan yang bersarang, mahu saja aku menangis semahunya
tetapi sudah aku ikrarkan, biarlah Allah juga yang menetapkan tarikhnya kerana
aku akan sabar menanti hari bahagia tersebut. Mudah-mudahan aku terus melangkah
tanpa menoleh ke belakang lagi. Mudah-mudahan ya Allah.
Sejak
hari pertunangan itu, aku semakin banyak mengulang al-Quran. Aku mahu sebelum
tibanya hari yang aku nantikan itu, aku sudah khatam al-Quran, setidak-tidaknya
nanti hatiku akan tenang dengan kalamullah yang sudah meresap ke dalam darah
yang mengalir dalam tubuh. Mudah-mudahan aku tenang... As-Syifa' aku adalah
al-Quran, yang setia menemani dalam resah aku menanti. Benar, aku sedang
memujuk gelora hati. Mahu pecah jantung menanti detik pernikahan tersebut,
begini rasanya orang-orang yang mendahului.
"Kak
Insyirah, siapa tunang akak? Mesti hebat orangnya. Kacak tak?"
Aku
tersenyum, mengulum sendiri setiap rasa yang singgah. Maaf, aku masih mahu
merahsiakan tentang perkara itu. Cukup mereka membuat penilaian sendiri bahawa
aku sudah bertunang, kebenarannya itu antara aku dan keluarga.
"Insya
Allah, 'dia' tiada rupa tetapi sangat mendekatkan akak dengan Allah. Itu yang
paling utama."
Berita
itu juga buat beberapa orang menjauhkan diri dariku. Kata mereka, aku senyapkan
sesuatu yang perlu diraikan. Aku tersenyum lagi.
"Jangan
lupa jemput ana di hari menikahnya, jangan lupa!"
Aku
hanya tersenyum entah sekian kalinya. Apa yang mampu aku zahirkan ialah
senyuman dan terus tersenyum. Mereka mengandai aku sedang berbahagia apabila
sudah dikhitbahkan dengan 'dia' yang mendekatkan aku dengan Allah. Sahabiah
juga merasa kehilangan ku apabila setiap waktu terluang aku habiskan masa
dengan as-Syifa' ku al-Quran, tidak lain kerana aku mahu kalamullah meresap
dalam darahku, agar ketenangan akan menyelinap dalam setiap derap nafas ku
menanti hari itu.
"Bila
enti menikah?"
Aku
tiada jawapan khusus.
"Insya
Allah, tiba waktunya nanti enti akan tahu..." Aku masih menyimpan tarikh
keramat itu, bukan aku sengaja tetapi memang benar aku sendiri tidak tahu bila
tarikhnya.
"Jemput
ana tau!" Khalilah tersenyum megah.
"Kalau
enti tak datang pun ana tak berkecil hati, doakan ana banyak-banyak!" Itu
saja pesanku. Aku juga tidak tahu di mana mahu melangsungkan pernikahan ku,
aduh semuanya menjadi tanda tanya sendiri. Diam dan terus berdiam membuatkan
ramai insan berkecil hati.
"Insya
Allah, kalian PASTI akan tahu bila sampai waktunya nanti..."
Rahsia
ku adalah rahsia Allah, kerana itu aku tidak mampu memberikan tarikhnya. Cuma,
hanya termampu aku menyiapkan diri sebaiknya. Untung aku dilamar dan dikhitbah
dahulu tanpa menikah secara terkejut seperti orang lain. Semuanya aku sedaya
upaya siapkan, baju menikahnya, dan aku katakan sekali lagi kepada ibu...
"Usah
berlebihan ya..."
Ibu
angguk perlahan dan terus berlalu, hilang dari pandangan mata.
"Insyirah,
jom makan!"
Aku
tersenyum lagi... Akhir-akhir ini aku begitu pemurah dengan senyuman.
"Tafaddal,
ana puasa."
Sahabiah
juga semakin galak mengusik.
"Wah,
Insyirah diet ya. Maklumlah hari bahagia dah dekat... Tarikhnya tak tetap lagi
ke?"
"Bukan
diet, mahu mengosongkan perut. Maaf, tarikhnya belum ditetapkan lagi."
Sehingga
kini, aku tidak tahu bila tarikhnya yang pasti. Maafkan aku sahabat,
bersabarlah menanti hari tersebut. Aku juga menanti dengan penuh debaran, moga
aku bersedia untuk hari pernikahan tersebut dan terus mengecap bahagia
sepanjang alam berumahtangga kelak. Doakan aku, itu sahaja.
....................................................................................
"innalillahi
wainna ilaihi rajiun..."
"Tenangnya...
Subhanallah. Allahuakbar."
"Ya
Allah, tenangnya..."
"Moga
Allah memberkatinya...."
Allah,
itu suara sahabat-sahabat ku, teman-teman seperjuangan aku pada ibu.
Akhirnya,
aku selamat dinikahkan setelah sabar dalam penantian. Sahabiah ramai yang
datang di majlis walimah walaupun aku tidak menjemput sendiri.
Akhirnya,
mereka ketahui sosok 'dia' yang mendekatkan aku kepada Allah.
Akhirnya,
mereka kenali sosok 'dia' yang aku rahsiakan dari pengetahuan umum.
Akhirnya,
mereka sama-sama mengambil 'ibrah dari sosok 'dia' yang mengkhitbah ku.
Dalam
sedar tidak sedar...
Hampir
setiap malam sebelum menjelang hari pernikahan ku... Sentiasa ada suara sayu
yang menangis sendu di hening malam, dalam sujud, dalam rafa'nya pada Rabbi,
dalam sembahnya pada Ilahi. Sayup-sayup hatinya merintih. Air matanya mengalir
deras, hanya Tuhan yang tahu.
"Ya
Allah, telah Engkau tunangkan aku tidak lain dengan 'dia' yang mendekatkan
dengan Engkau. Yang menyedarkan aku untuk selalu berpuasa, yang menyedarkan aku
tentang dunia sementara, yang menyedarkan aku tentang alam akhirat. Engkau
satukan kami dalam majlis yang Engkau redhai, aku hamba Mu yang tak punya
apa-apa selain Engkau sebagai sandaran harapan. Engkau maha mengetahui apa yang
tidak aku ketahui..."
Akhirnya,
Khalilah bertanya kepada ibu beberapa minggu kemudian...
"Insyirah
bertunang dengan siapa, mak cik?"
Ibu
tenang menjawab... "Dengan kematian wahai anakku. Kanser tulang yang
mulanya hanya pada tulang belakang sudah merebak dengan cepat pada tangan, kaki
juga otaknya. Kata doktor, Insyirah hanya punya beberapa minggu sahaja sebelum
kansernya membunuh."
"Allahuakbar..."
Terduduk Khalilah mendengar, air matanya tak mampu ditahan.
"Buku
yang sering dibacanya itu, malam pertama..."
Ibu
angguk, tersenyum lembut... "Ini nak, bukunya." Senaskah buku
bertukar tangan, karangan Dr 'Aidh Abdullah al-Qarni tertera tajuk 'Malam
Pertama di Alam Kubur'.
"Ya
Allah, patut la Insyirah selalu menangis... Khalilah tak tahu mak cik."
"Dan
sejak dari hari 'khitbah' tersebut, selalu Insyirah mahu berpuasa. Katanya mahu
mengosongkan perut, mudah untuk dimandikan..."
Khalilah
masih kaku. Tiada suara yang terlontar. Matanya basah menatap kalam dari diari
Insyirah yang diberikan oleh ibu.
"Satu
cincin ini aku pakai sebagai tanda aku di risik oleh MAUT. Dan satu cincin ini
aku pakai sebagai tanda aku sudah bertunang dengan MAUT. Dan aku akan sabar
menanti tarikhnya dengan mendekatkan diri ku kepada ALLAH. Aku tahu ibu akan
tenang menghadapinya, kerana ibuku bernama Ummu Sulaim, baginya anak adalah
pinjaman dari ALLAH yang perlu dipulangkan apabila ALLAH meminta. Dan ibu mengambil
'ibrah bukan dari namanya (Ummu Sulaim) malah akhlaqnya sekali. Ummu Sulaim,
seteguh dan setabah hati seorang ibu."
dipetik dari ILUVISLAM