Aku Musafir

Aku Musafir

Saturday, December 31, 2011

Hukum Menyambut Tahun Baru Masihi?


Kita berada di ambang tahun baru 2012. Tahun 2011 akan ditinggalkan dengan seribu kenangan, yang termaktub sudah dalam lipatan sejarah. Mungkin dalam kehidupan kita sendiri, mempunyai sejarah pahit dan manis yang dilalui sepanjang tahun ini yang akan kekal sepanjang hidup kita. Semua ini mengajar satu erti hidup dan kisah bersama. 

Berbalik kepada sambutan tahun baru yang bakal diadakan tidak lama lagi, terutama sekali sambutan diperingkat negeri dan negara. Soalnya sekarang, apakah hukum menyambut tahun baru masihi?

HUKUM SAMBUTAN TAHUN BARU MASIHI

Ustaz Zaharuddin menyatakan hukumnya adalah HARUS secara bersyarat, iaitu;


a) Sambutan tersebut dilakukan atas asas ‘Uruf atau ‘Adat dan bukannya di anggap sebagai suatu upacara keagamaan.
b) Tiada percampuran rambang lelaki dan wanita yang bukan mahram yang dikebiasaan membawa kepada maksiat
c) Tidak dicampur adukkan dengan hiburan-hiburan yang bertentangan dengan kehendak Islam.
d) Kandungan majlis sambutan ini juga mestilah bertepatan dengan kehendak syara’ – anjurkan majlis ilmu.

Namun hakikat hari ini sambutan tahun baru tidak lengkap kalau tiada konsert-konsert hiburan, samada di kaca TV ataupun di tempat sambutan tahun baru. Justeru itu ia lebih membawa keburukan apabila berlakunya pergaulan bebas, ada yang mabuk dan bertindak liar merosakkan harta benda awam serta mengancam petugas-petugas keselamatan yang berkawal. 

Sehubungan itu, lebih baik kita mengelakkan diri daripada terlibat dalam sambutan tahun baru yang diketahui bercampur aduk dengan program-program maksiat dan HARAM.
Baca pandangan penuh Ustaz Zaharuddin di bawah.
Pertamanya, sebagai umat Muhammad SAW, kita di ajar untuk mengira peredaran hari menggunakan bulan Islam, ia terlebih afdhal. Pengiraan zakat perlu menggunakan bulan Islam bagi mengetahui "hawl" (tempoh wajibnya) sudah sampai atau belum. Justeru, secara umumnya adalah lebih baik untuk kita mengingati bulan Islam ini bagi terus menjaga identiti Islam yang tersendiri. Islam juga telah meletakkan dua hari raya yang patut disambut dan dirayakan oleh Umat Islam iaitu Eidil Fitri dan Eid Adha. 
Oleh itu, sebarang sambutan majlis lain mestilah tidak menyerupai sambutan perayaan dua hari raya Islam tadi. Islam juga terbuka dalam menilai sambutan keraian yang tidak bersifat keagamaan, diterima adat dan tiada unsur yang bercanggah dengan hukum dalam sambutannya.
Tidak dinafikan bahawa terdapat para ulama yang mengharamkan sama sekali sambutan tahun baru dalam apa jua bentuk. Namun, menyambut tahun baru Masehi (yang mengikut kiraan Gregorian calendar ciptaan Pope Gregory), menurut pandangan saya, ia adalah HARUS secara bersyarat serta bergantung kepada cara sambutan dan keraian yang dibuat.
Walaupun kalendar masehi adalah ciptaan bukan Islam, namun melihat kepada penerimaan kalendar moden ini, ia tidak lagi kelihatan bersangkut paut dengan agama malah amat ramai yang tidak lagi mengetahui dan ambil endah tentang asal usulnya, apatah lagi kaitannya dengan mana-mana agama. Ia sudah dikira sebagai sebuah kalendar moden yang diterima di atas asas adat dan kebiasaan. Namun begitu, syarat-syarat seperti berikut mestilah diambil perhatian dalam sambutannya:-

* Sambutan tersebut dilakukan atas asas ‘Uruf atau ‘Adat dan bukannya di anggap sebagai suatu upacara keagamaan. Jika ia diasaskan atas dasar ibadah maka ia perlu mempunyai sandaran dalil yang jelas. Bagaimanapun jika menyambutnya atas asas adat dan diisi dengan progam yang boleh membawa kesedaran keagamaan dan kebaikan, maka saya masih berpendapat ia adalah HARUS kerana ia termasuk di bawah umum kelebihan majlis ilmu.
Justeru, sambutan tahun baru menurut adat setempat adalah HARUS DENGAN SYARAT berdasarkan penerimaan Islam terhadap adat yang tidak bercanggah dengan Islam. Kaedah Islam yang menerima adat seperti ini adalah " Al-‘Adat Muhakkamah"
Ertinya : "Adat yang tidak bercanggah dengan Syara' boleh menentukan hukum sesuatu perbuatan dan tindakan". (Rujuk Al-Madkhal al-Fiqhi Al-‘Am, Syeikh Mustafa Az-Zarqa, 2/885 ; Syarh alQawaid al-Fiqhiyyah, Syeikh Ahmad Az-Zarqa, ms 219).
Terdapat satu keadah lain berbunyi : " Innama tu'tabaru al-‘Adat iza attaradat aw ghalabat"
Ertinya : Sesungguhnya diiktiraf sebagai adat (yang tidak bercanggah) apabila ianya berterusan dilakukan dan dilakukan oleh majority". (Al-Qawaid al-Fiqhiyyah, Ali Ahmad An-Nadawi, ms 65)
* Tiada percampuran rambang lelaki dan wanita yang bukan mahram yang dikebiasaan membawa kepada maksiat. Bagaimanapun, syarat ini hampir mustahil untuk dijaga pada zaman ini kecuali jika dianjurkan oleh badan agama yang disertai mereka yang mempunyai ilmu agama yang baik dan bukan terbuka sebagaimana sambutan besar-besaran umum. Tatkala itu,  sambutan akan menjadi haram jika syarat ini tidak dijaga.
* Tidak dicampur adukkan dengan hiburan-hiburan yang bertentangan dengan kehendak Islam. Seperti lagu-lagu memuji muja kekasih, wanita, arak. Tidak kira samada ianya lagu biasa atau nasyid (terutamanya dengan kebanjiran kumpulan nasyid hari ini tersasar dari tujuan asal mereka sehingga memperkenalkan lagu-lagu memuji-muja wanita sebagai kekasih).
* Kandungan majlis sambutan ini juga mestilah bertepatan dengan kehendak syara'. Majlis sambutan tahun baru dengan penganjuran majlis ilmu sebagai mengambil sempena cuti umum adalah diharuskan pada pandangan saya.

SELAMAT TAHUN BARU 2012

sumber : http://ustaznaim.blogspot.com/2010/12/hukum-menyambut-tahun-baru-masihi.html

Thursday, December 29, 2011

Bercinta dalam islam....


Remaja selalu bertanya apakah salah kami bercinta? Tidak, bercinta memang tidak salah justeru ia adalah fitrah semulajadi yang Allah kurniakan kepada setiap manusia. Ingin cinta dan dicintai adalah instinc. Jiwa manusia memerlukan cinta seperti jasadnya perlukan makanan. Oleh kerana cinta adalah fitrah, maka tentulah tidak salah untuk merasainya. Namun Allah tidak kurniakan rasa cinta secara polos begitu sahaja.
Dia juga mencipta peraturan cinta demi menjaga kemurniaanya. Peraturan inilah yang kerap dilanggar oleh remaja. Rasa cinta tidak salah tetapi kesalahan selalu berlaku sewaktu menjalinkan hubungan cinta. Di sinilah berlakunya cinta terlarang yakni cinta yang menafikan peraturan Tuhan. Ketika itu fitrah telah menjadi fitnah. Bila kehendak semulajadi tidak disalurkan atau diisi mengikut peraturan maka akan
berlakulah kekalutan dan kemusnahan.



Mengapakah perlu ada peraturan cinta?
Jawabnya, kerana Allah mencintai manusia. Allah inginkan keselamatan dan kesejahteraan buat manusia melaksanakan keinginan fitrah semulajadinya. Keinginan tanpa peraturan akan menyebabkan banyak kemusnahan. Begitulah hubungan cinta yang terlarang, akan membawa banyak implikasi negatif dalam kehidupan. Pengalaman sudahpun
mengajar kita nahawa jangan sekali-kali bermain cinta, nanti terbakar diri. Sudah banyak tragedi
yang berlaku akibat hubungan cinta yang membelakangkan Tuhan. Cinta yang terlarang, adalah cinta yang sudah dicemari oleh kehendak nafsu dan kepentingan diri. Keindahan cinta yang sudah tercemar ini tidak tahan lama. Sudah dapat apa yang dihajati, sudah terlaksana apa yang dikejar, cinta akan terkulai dan bersepai.
Hubungan cinta jangan dicemari oleh sebarang tindakan menyalahi syariat. Lebih banyak perlanggaran hukum berlaku, lebih tinggilah risiko kemusnahan yang akan berlaku. Jangan kita tertipu dengan pesona cinta yang dihiasi berbagai janji dan sumpah setia. Jangan kita mabuk dengan rindu dan asyik yang membuai dan melenakan. Seteguk kita minum dari kendi cinta terlarang, racunnya akan meresap membunuh akal, jiwa dan perasaan. Pada ketika itulah cinta dikatakan buta. Maka butalah mata hati dan mata kepala hingga seseorang akan menjadi hamba kepada siapa yang dicintainya. Ketika itu hati tidak nampak yang lain kecuali apa yang dicintai. Lupalah diri pada Pencipta cinta kerana terlalu asyik dengan cinta yang dikurniakan-Nya. Ah, bagaimanakah perasaan kita agaknya, jika seseorang begitu leka
dengan hadiah hingga terlupa bersalam dan berterima kasih dengan pemberinya?
Tuhan kerap terpinggir dalam hubungan cinta yang terlarang. Hukumnya dilanggar bukan dengan rasa
bersalah tetapi dengan rasa manis dan megah. Tangan kekasih dipegang walaupun jelas Allah mengharamkan sentuhan antara lelaki dan wanita yang bukan muhram. Tergamak berdua-duaan di
tempat sunyi walaupun sudah diperingatkan Nabi bahawa dalam keadaan begitu syaitan adalah
orang yang ketiga. Lebih dari itupun banyak berlaku. Semuanya seolah-olah halal hanya kerana cinta. Racun-racun berbisa yang memusnahkan cinta telah dianggap sebagai baja. Akhirnya pohon cinta terlarangpun berbuah. Buah yang pahit, masam dan memabukkan. Buah yang muncul dengan pelbagai jenama yang aneh dan menjijikkan bohsia, bohjan, buang bayi dan zina. Ketika itu indahkah cinta?

Peraturan cinta bagai tanda-tanda dan lampu isyarat di atas jalan-raya. Kereta diciptakan dengan kuasa untuk bergerak, tetapi pergerakkannya perlu diatur dan dikawal. Jika tidak, dengan kuasa itu akan berlakulah perlanggaran dan pertembungan. Begitulah cinta, ia adalah kuasa tetapi kuasa itu perlukan peraturan dan kawalan.
Apakah peraturan-peraturan dalam hubungan cinta?
Hendaklah cinta kita itu didasarkan kepada cinta Allah.
Ertinya, cinta yang kita berikan kepadanya semata-mata kerana mengharapkan keredhaan Allah. Allah memberi kita fitrah itu lalu kita niatkan dengan fitrah itu boleh menghampirkan diri kepada-Nya. Cintailah sesiapapun tetapi pastikan cinta itu dapat memudahkan kita mencintai Allah. Sehubungan dengan itu, cinta antara lelaki dan perempuan mestilah diniatkan untuk Allah.Soalnya bagaimana? Iringilah dengan niat untuk berkahwin kerana berkahwin itu lebih memudahkan seorang lelaki atau perempuan menyempurnakan agamanya. Sabda Rasulullah SAW: Apabila seseorang itu berkahwin, sempurnalah separuh agamanya, tinggal lagi separuh untuk disempurnakannya.
Oleh itu usahlah bercinta sekadar untuk bersuka-suka.
Lebih buruk lagi janganlah ada niat-niat yang jahat dalam bercinta samada didorong oleh hasutan nafsu atau bujukan syaitan. Jika tidak ada niat untuk berkahwin, cinta sudah pasti bukan
kerana Allah. Hakikatnya cinta itu adalah cinta terlarang yang akan membawa kemusnahan pada sebelah pihak atau kedua-duanya sekali. Cinta jenis ini seburuk namanya Cinta Monyet!
Selain itu hendaklah dipastikan semasa menjalinkan hubungan cinta tidak ada hukum Allah yang dilanggar.
Antaranya, tidak ada pergaulan bebas, tidak ada pendedahan aurat, tidak ada pengabaian perkara-perkara asas seperti meninggalkan sembahyang, puasa dan lain-lain. Hubungan cinta juga jangan sampai terjerumus dalam perkara yang melalaikan dan merugikan. Remaja tidak seharusnya mengeluh dan berkata, cinta apa namanya ini jika tidak ada dating, perbualan talipon secara marathon, surat cinta, sentuhan tangan, kerlingan dan senyuman? Yakinlah tidak ada keindahan dengan melanggar
peraturan Tuhan. Putus cinta, frust cinta yang begitu dominan dalam kehidupan remaja adalah disebabkan racun-racun cinta yang disangka baja ini. Justeru banyaklah cinta yang gagal disambung di alam perkahwinan dan lebih banyak yang putus tanpa sempat menempuh perkahwinan.
Allah Maha Mengetahui dan Maha menyayangi. Segala peraturan-Nya dibuat dengan rasa cinta terhadaphamba-hamba-Nya. Cinta suci mampu tumbuh tanpa semua itu. Dan cinta itu pasti akan membawa ke gerbang perkahwinan untuk bercinta lagi dengan seribu keindahannya. Bahkan jika ditakdirkan cinta itu akan terus bersambung ke alam akhirat. Suami yang soleh dan isteri yang solehah akan bercinta lagi di syurga tempat pertama yang melahirkan cinta! Ketika itulah fitrah akan menjadi anugerah.

Monday, December 5, 2011

Cinta Itu Buta..??


Cinta itu buta?
Memang cinta itu tidak bermata,
Tapi tidak pula buta,
Kerana kitalah mata itu.

Hati yang seharusnya berjalankan petunjuknya,
Bukannya yang disuluh dari cahaya duniawi.
Seharusnya janganlah biar ia dikaburi nafsu,
Kelak kekejaman mata itu kian hilang bisanya lalu terus tumpul.

Asahlah ia dengan zikrullah,
Siramilah ia dengan basah lidah,
Suarakan selawat buat Rasulullah,
Suburilah ia dengan muhasabah.

Kenapa dikatakan cinta itu buta?
Kerana bila tidurnya tidak lena,
Mandinya tak basah,
Makannya tak kenyang,
Hilang tumpuan sibuk dan asyik terkenangkan orang tersayang.

Ingatan persis laying-layang terbang di awan,
Terapung bersama angan-angan.
Bila nasihat orang tua dikatakan penghalang,
Bila yang haram menjadi halal,
Berjalan beringinan sambil berpegang tangan,
Naik motor berpelukan takut tercicir di jalanan,
Lama-kelamaan kesucian menjadi korban,
Kononnya sebagai tanda cinta sejati,
Tidak berbelah bagi.

Yang paling diendahkan,
Bilamana tanggungjawab sebagai hambaNya mula diabaikan,
Bilamana kitabNya sudah tidak betah ditangan,
Dek kerana mata hati yang mula kabur,
Terjerumus dalam cinta dunia.

Ya Allah, jangan kiranya hari itu milikku,
Ya Allah, jangan juga kiranya anak itu adalah aku,
Ya Allah, ku tak sanggup memiliki tangan itu,
Ya Allah, jauhkanlahku dari dimiliki mahupun memiliki cinta seperti itu,
Ya Allah, aku takut kiranya akulah hambaMu yang tak bertanggungjawab itu.

Ku pohon padaMu, payungilah aku dari panahan nafsu syaitan,
Ku harapkan teduhan dibawah lembayung rahmatMu,
Ku tagih redup dari rimbunan pohon kasih sayangMu,
Ku tahu Ya Allah, ku tak layak menghuni syurgaMu,
Tapi tak pula aku ingin ke nerakaMu..
Amiin..