Aku Musafir

Aku Musafir

Saturday, November 19, 2011

Memandu Cinta Ke Destinasi Abadi


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh…
Sekadar renungan bersama agar terpandu dalam bercinta, insyaAllah..


Suka? Cinta? Tertarik? Apakah lagi kalimah yang bias menggambarkan perasaan remaja terhadap insan berlainan jantinan dengan mereka. Hakikat ini mungkin dinafikan oleh masing-masing yang telah melintasi gerbang keremajaan. Tak rasa? Tipulah! Saya juga remaja, bisa memahami gelodak rasa remaja semua. Hanya kesan tahap pendidikan yang membezakan metod remaja dalam melayani perasaan ini.
Kenapa asyik-asyik cinta yang dikaitkan dengan remaja? Anda yang bernama remaja pastikah perasaan itu cinta? Jangan-jangan tertarik kepada si dia lalu dimudah-mudahkan menjadi terma cinta. Tertarik itu biasalah, kerana paras fizikal yang bisa ternilai oleh retina mata. Saya tak nafikan perasaan cinta itu wujud dan amat suci lagi tinggi nilainya tapi janganlah senang-senang anda merendah-rendahkannya.

Dengan Cinta Kenal Pencipta,
Dengan Cinta Kenal Rasul-Nya,
Kerana Cinta Kenal Saudara,
Bahagia Keluarga..

“Awak ada awek?”
“Tu mesti secret admirer ?”
“Ish, takkan tak ada teman istimewa kot, yang bergayut sokmo tu?”
“Ni dah masuk U ni, mesti dah ada..?”

Perbualan biasa yang sudah lali di telinga, entah-entah anada yang terkena. Nasiblah kalau begitu, saya juga remaja yang sudah faham kehidupan ini tapi saya juga masih mendalaminya kerana kehijauan kematangan saya dalam alam ini.
Satu ketika (atau beberapa ketika) terdetik di hati saya, “Orang lain masing-masing dah ada. Aku ni cam tu juga?” Pernah anda sedemikian? Pastinya, kan! Lalu kawan-kawan yang berlainan jantina dengan anda yang anda minati cuba anda awekkan atau diawekkan agar anda di mata orang lain seolah-olah Nampak telah berpunya. Lalu bergayutlah atau anda digayutkan pada tika dan waktu yang tidak menentu, ataupun kalau yang agak sopan, mungkin berbunyilah nada mesej diterima pada telefon bimbit masing-masing.

Anda mungkin beranggapan ini hanya berlaku di kalangan mereka yang kurang pendidikan deeninya, lalu saya menyanggah sedangkan nisa’ yang dahulunya sewaktu di sekolah agama agak syadid pada rijal yang dari sekolah deeni yang hanya satu kaum sahaja.

Apapun usahlah didebatpanjangkan perkara ini kerana ada perkara yang lebih aula yang ingin saya bawakan. Kita sibuk berbicara pasal perasaan kita terhadap golongan yang berlainan jenis ini, apakah kita memandang jauh perasaan kita ini terhadap dia? Apa? Tak faham?! Senang cerita, bersediakah kita melayari gerbang perkahwinan bersamanya? Mana boleh, awal lagi. Belajar tak habis lagi, dah gatal nak fikir pasal kahwin! Pasti itulah jawapan yang keluar dari mulut yang banyak. Dah tu, bercouple? Tu tak gatal? Bergayut, berSMS tu tak masuk kategori gatal? Jawablah sendiri.

Minda anda nampaknya sudah terasak dengan pelbagai tanda soal, apa penulis ini merepek tak sudah-sudah ni? Marilah kembali kepada perkara penting yang ingin saya sampaikan tentang melayari gerbang perkahwinan. Anda tentu bersetuju dengan saya bahawa perkahwinan yang diinginkan hanyalah sekali dalam hidup yakni bahagia berkekalan hingga ke jannah abadi. Namun, perbuatan anda sekali-kali tidak mengizinkan perkara itu berlaku, bagaimana? Mari kita fikirkan.

Anda sibuk mencari pasangan bercinta? Asyik sekali bercouple? Atau setidak-tidaknya berkawan mesra dengan rakan yang menarik perhatian anda, namun anda sama sekali tidak bersedia untuk memperzaujahi atau memperzauji mereka. Sedangkan dalam masa yang sama anda terus bermain perasaan dengan mereka, kononnya sedang bercinta, namun mungkin juga memang anda sedang bercinta, jadi ke mana hendak dibawa cinta itu? Adakah sekadar untuk dibuai-buai sebagai memenuhi tuntutan remaja atau sekadar motivasi pendorong semangat belajar? Lantas anda terus hanyut dibawa mainan cinta yang entah nak dibawa ke mana.

Ayuh, bangunlah! Bangkitlah dari tidurmu, usah dibuai-buai lagi dengan perasaan itu! Tak bermaknanya andai anda terus sebegini. Mari ikut saya membumikan perasaan suka, kasih, tertarik dan cinta anda itu daripada terus melayang-layang tidak berpijak di bumi hakiki. Pandang jauh ke hadapan, layakkah dia itu menjadi pasangan hidup anda untuk ke akhir hayat anda? Menepatikah dia cirri-ciri teman hidup yang anda idam-idamkan? Mungkin ya, mungkin juga tidak. Tetapi yang lebih utama, adakah dia memenuhi cirri-ciri zaujah/zauj yang dikehendaki oleh agama, lantaran tidak ada manfaatnya dia penuhi cirri-ciri kemahuan anda namun tidak punya titik pertemuan dengan kehendak deeni. Bagaimana? Dapat?

Kemudian, lihat diri anda pula. Sejauh mana anda memenuhi nilai zaujah/zauj yang dikehendaki agama; solat jemaahnya, akhlak peribadi, ilmu pengetahuan dan sebagainya yang amat penting dalam kehidupan berkeluarga. Perkara yang saya utarakan ini tidak semestinya hanya kepada mereka yang sedang hanyut dalam rayuan rindu, bahkan kepada semua remaja teruna yang bakal menemukan pasangan hidup yang sekufu.

Andai jawapannya positif, Alhamdulillah, kekalkan agar keredhaan-Nya sentiasa menyirami hidup anda. Bagaimana kalu jawapannya negative? Saya pasti ramai yang berjawapankan ini,kan? Ayuh, sama-sama telusuri jalan ini agar kita bersedia menghadapi hidup masa muka nanti.

Pertama, persediaan rohani. Bagi rijal yang bakal memegang tampuk keluarga, pastikan ilmu telah kemas di dada, kalau belum bagaimana? Carilah! Ilmu diperoleh bukan sekadar dalam kelas, malah melalui kuliah-kuliah, pembacaan, pendengaran, dan apa jua cara yang halal mendatangkan ilmu yang hidup. Pastilah ilmu fardhu ain, itulah yang utama kerana setidak-tidaknya dapat membimbing anggota keluarga menuju cara hidup yang selari dengan Kalam Illahi, jangan nanti apabila isteri ajak solat berjemaah diarahkan isterinya pula jadi imam. Tauhid juga kenalah kukuh, tiada gunanya amalan tunggang-terbalik andai berpaksikan tauhid yang tidak kena dengan Syariat. Hidup berpandukan tauhid yang suci menempah redha dan rahmat Illahi. Ingat!! Tauhid kita bersaksikan Laa Ilaha Ill Allah Muhammadur Rasulullah; tiada kesyirikan dalam hidup dan pegangan agama yang tepat berdasarkan ajaran Nabi-Nya, Rasulullah s.a.w. Amnya, pegangan agama hendaklah mantap kerana itulah yang akan memimpin anda menakhodai bahtera rumah tangga, mengharung rebut gelora, dan badai yang melanda.

Nisa’ juga begitu, iilmu rumah tangga hendaklah mantap dalam diri, kalau tak reti memasak, belajar-belajarlah memegang senduk. Nisa’ yang pandai memasak tentulah memikat suaminya untuk tidak bersantap di luar rumah, lantas mengikat kasih saying dan mawaddah antara kedua-duanya, berkat air basuhan isteri. Itulah kunci kasih dan saying selepas akad berlangsung (selepas kahwin). Tidak sahaja ilmu memasak, ilmu memikat suami (bukan menunduk suami!!) juga tak kurang penting; bagaiman layanan terhadap suaminya, kerenahnya, amarahnya, tak kurang juga cintanya. Jika belum bersedia menjadi ibu yang penyayang, tak usahlah berkahwim dahulu. Belajar dahulu ilmu membelai dan memujuk kanak-kanak dengan rangsangan-rangsangan motivasi. Setakat mengherdik, mencubit, memukul, menampar, dan mengikat di pangkal pokok, orang yang tinggal di gua batu pun bisa melakukannya. Sama jua kaedahnya, sama ada melalui kuliah-kuliah agama, pembacaan ataupun paling senang tanya ummi anda sendiri.

Kedua, persediaan fizikal. Bagi rijal tentulah fizikal yang mantap lagi sihat serta fikiran yang matang. Belajar-belajarlah mematangkan diri dan mendikarikan diri anda dalam membuat keputusan atau dalam apa-apa yang memerlukan pertimbangan. Not to be matured, but have to be seen matured. Jangan nanti dikata orang, perangai macam budak-budak lagi gatal dah nak kahwin! Kalau zaman sekarang, kemahiran memandu macam satu kewajipan, mahirkan diri anda dengan itu dalam sibuk-sibuk bercouple itu, namun bukanlah satu kemestian mempunyai kemahiran memandu, sekadar mengambil contoh yang relevan.

Nisa’ macam mana pula? Fikrah dan minda perlu mantap juga, jangan nanti asyik ke hulu ke hilir dengan anak patung lagi. Selain itu, diri hendaklah benar-benar bersedia sebagai isteri dari segi fizikal dan mental. Saya tak nak hurai panjang mengenai bab fizikal ini, seharusnya anda sudah bisa mengerti maksud saya. Dari segi mental pula, anda harus bersedia menerima kehadiran insan asing yang tidak pernah menyentuh anda secara halal yang berkuasa memindahkan aulawiyat ketaatan anda daripada ibu bapa kepadanya. Malah, syurga anda juga berpindah tapak kaki sejak rijal itu mengqabulkan aqad dari pihak wali.

Apa-apa yang saya coretkan ini mungkin agak celaru namun itulah yang cuba disampaikan iaitu cara kita membumikan rasa fitrah remaja kita, tertarik, kasih, cinta, dan sebagainya agar nanti tidak mensia-siakan masa kita. Mungkin ada di kalangan anda yang hanya mahu menumpukan perhatian pada pelajaran dahulu baru memikirkan soal hai ini, saya katakana anda juga ada perasaan. Mengapa mahu diderakan perasaan itu? Bukan mahu mengajak anda bercouple atau memadu kasih, cuma ingin mengajak anda bersedia awal sebagai meraikan perasaan itu. Mengapa? Takut terumbang-ambing antara pelajaran dan ini? Saya katakan, bahawa minda kita begitu hebat cuma kita sahaja yang gagal menggunakannya dengan cemerlang. Salah satu kaedah mencemerlangkan adalah dengan membuat beberapa kerja dengan serentak. 

Coretan ini untuk semua yang bergelar remaja baik yang sudah mempunyai pasangan (tak taulah serius atau tak) mahupun yang masih berstatus tunggal. Teruskanlah dengan apa-apa status yang anda pegang sekarang, cuma saya mengajak diri saya dan saudara-saudari merealitikan fitrah remaja kita, tertarik, kasih dan cinta, dan sebagainya kelak nanti ia membumi pada tapak yang kukuh dan mantap. Teruskan belajar dan dalam masa yang sama buatlah persediaan seperti yang saya nyatakan di atas. Bagi yang sedang memadu kasih, atau melayan perasaan tertarik mereka itu, jadikanlah perasaan itu batu itu diloncati untuk mencapai prestasi pelajaran yang memberangsangkan dan jangan lupa menyediakan tapak kukuh kepada perasaan itu dengan persediaan di atas. Jodoh kita hanya Dia yang Maha Mengetahui, namun biarlah kita bersedia sedari awal fitrah remaja kita, tertarik, kasih, cinta dan sebagainya itu menghambur.

Saya bukanlah penulis yang baik andai minda anda berpusing-pusing untuk memahami tumpahan pena ini namun perasaan yang membuak-buak untuk member mesej ini menggerakkan jari-jari saya menyusun langkah di atas papan kekunci menulis coretan ini. Semuanya lahir dek situasi dan kondisi yang memang kita sebagai remaja tidak dapat lari daripadanya iaitu mengenai berpasangan di usia muda, mungkin tidak membawa ke jinjang pelamin. Namun lalainya remaja kita dalam menangani perkara ini amat membimbangkan. Kondisi ini sudah menjadi kebiasaan malah kadang-kadang bagaikan wajib pula, maka daripada kita terus tersepit bagaikan anjing, lebih baik mencari jalan keluar yang diredhai. Terpulanglah kepada anda untuk menelusurinya atau tidak. Cuma saya membantu membuka jalan, dan pastilah saya juga akan cuba melaluinya dengan sebaik mungkin selaras dengan subjek yang saya sampaikan agar nanti tidak terkutuk lantaran menyuruh perkara yang tidak terkotakan.

Moga Allah merahmati anda dan juga saya dan saya pohon agar tumpahan tinta ini membawa faedah untuk kita bersama. Baik dan buruk semuanya daripada-Nya, saya hanya penari jari di papan kekunci, salah silap maaf dipohon.

Wallahu a’alam


Friday, November 11, 2011

Tempahkan Sebuah Bilik Di Neraka Buatku...


Di ambil dari majalah Iskandariah Mesir 'MANAR ISLAM'

Menurut majalah tersebut, pada suatu hari, seorang gadis yang terpengaruh dengan cara hidup masyarakat Barat menaiki sebuah bas mini untuk menuju ke destinasi di wilayah Iskandariah. Malangnya walau pun tinggal dibumi yang terkenal dengan tradisi keislaman, pakaian gadis tersebut sangat menjolok mata. Bajunya agak nipis dan seksi hampir terlihat segala yang patut disembunyikan bagi seorang perempuan dari pandangan lelaki ajnabi atau mahramnya.

Gadis itu dalam lingkungan 20 tahun. Di dalam bas itu ada seorang tua yang dipenuhi uban menegurnya.
Wahai pemudi! Alangkah baiknya jika kamu berpakaian yang baik, yang sesuai dengan ketimuran dan adat serta agama Islam kamu, itu lebih baik daripada kamu berpakaian begini yang pastinya menjadi mangsa pandangan liar kaum lelaki...." nasihat orang tua itu.

Namun, nasihat yang sangat bertetapan dengan tuntutan agama itu dijawab oleh gadis itu dengan jawapan mengejek. "Siapalah kamu hai orang tua? Apakah di tangan kamu ada anak kunci syurga? Atau adakah kamu memiliki sejenis kuasa yang menentukan aku bakal berada di syurga atau neraka?"

Setelah menghamburkan kata-kata yang sangat menghiris perasaan orang tua itu gadis itu tertawa mengejek panjang. Tidak cukup setakat itu, si gadis lantas cuba memberikan telefon bimbitnya kepada orang tua tadi sambil melafazkan kata kata yang lebih dahsyat.

"Ambil hanphone ku ini dan hubungilah Allah serta tolong tempahkan sebuah bilik di neraka jahannam untukku," katanya lagi lantas ketawa berdekah-dekah tanpa mengetahui bahawasanya dia sedang
mempertikaikan hukum Allah dengan begitu biadab.

Orang tua tersebut sangat terkejut mendengar jawapan dari si gadis manis. Sayang wajahnya yang ayu tidak sama dengan perilakunya yang buruk. Penumpang-penumpang yang lain turut terdiam ada yang menggelengkan kepala kebingungan. Semua yang di dalam bas tidak menghiraukan gadis yang masih muda itu yang tidak menghormati hukum hakam itu dan mereka tidak mahu menasihatinya kerana khuatir dia akan akan menghina agama dengan lebih teruk lagi.

Sepuluh minit kemudian bas pun tiba perhentian. Gadis seksi bermulut celupar tersebut di dapati tertidur di muka pintu bas. Puas pemandu bas termasuk para penumpang yang lain mengejutkannya tapi gadis tersebut tidak sedarkan diri. Tiba tiba orang tua tadi memeriksa nadi si gadis. Sedetik kemudian dia menggelengkan kepalanya. Gadis itu telah kembali menemui Tuhannya dalam keadaan yang tidak disangka. Para penumpang menjadi cemas dengan berita yang menggemparkan itu.

Dalam suasana kelam kabut itu, tiba tiba tubuh gadis itu terjatuh ke pinggir jalan. Orang ramai segera berkejar untuk menyelamatkan jenazah tersebut. Tapi sekali lagi mereka terkejut. Sesuatu yang aneh menimpa jenazah yang terbujur kaku di jalan raya. Mayatnya menjadi hitam seolah olah dibakar api. Dua tiga orang yang cuba mengangkat mayat tersebut juga kehairanan kerana tangan mereka terasa panas dan hampir melecur sebaik saja menyentuh tubuh si mayat.

Akhirnya mereka memanggil pihak keselamatan menguruskan mayat itu. Begitulah kisah ngeri lagi menyayat hati yang menimpa gadis malang tersebut. Apakah hasratnya menempah sebuah bilik di neraka dimakbulkan Allah? Nauzubillah, sesungguhnya Allah itu Maha Berkuasa di atas segala sesuatu. Sangat baik kita jadikan iktibar dan pelajaran dengan kisah benar ini sebagai muslim sejati. Jangan sekali sekali kita mempertikaikan hukum Allah dan mahupun sunnah RasulNya saw dengan mempersendakan atau ejekan. Kata- kata seperti ajaran Islam tidak sesuai lagi dengan arus kemodenan dunia hari ini atau sembahyang tidak akan buat kita jadi kaya dan seumpamanya adalah kata kata yang sangat biadab dan menghina Allah, pencipta seluruh alam.

Ingatlah teman, kita boleh melupakan kematian, tetapi kematian tetap akan terjadi bagi kita. Hanya masanya saja yang akan menentukan bila kita akan kembali ke alam barzakh. Janganlah menjadi orang yang bodoh, siapakah orang yang bodoh itu? Mereka itulah orang yang ingin melawan Tuhan Rabbul alamin. Apabila anda enggan melaksanakan suruhan Tuhan bererti anda ingin melawan arahan Tuhan. Sewaktu di sekolah anda tertakluk dengan undang-undang sekolah, dalam pekerjaan anda tertakluk dengan undang-undang yang di lakar oleh majikan anda, di dalam negeri anda tertakluk di bawah undang-undang negara anda.

Begitu taksub sekali anda terhadap undang-undang itu hingga terlalu prihatin takut kalau melanggar undang-undang itu. Apabila anda berpijak di bumi ini, anda juga tertakluk dengan undang-undang yang telah di gubal oleh yang menjadikan bumi ini. Setiap Sultan ada taman larangannya, begitu juga Allah swt. Taman laranganNya adalah perkara-perkara yang telah diharamkan bagi hamba-hambaNya di
muka bumi ini.

Sama samalah kita memohon agar Allah sentiasa memberi kita petunjuk di atas jalan yang benar dan kekuatan agar sentiasa dapat menjaga lidah kita.

Wallahualam bissawab.

Tuesday, November 8, 2011

Luahan Sahabat...


Assalamualaikum wbt dan Salam Aidiladha…

Alhamdulillah wa syukur lillah kerana dapat melakar kenangan bersama keluarga dan dapat menikmati kehidupan dengan senyuman dan ketenangan dan insyaAllah ketenangan ini akan berterusan hingga ke ‘sana’. Bingkisan hari ini ditemani bersama hujan rahmat yang turun membuatkan terasa kedinginan dan sedikit sejuk. Namun, ia bukanlah penghalang kepada manusia untuk bekerja mencari rezeki halal dan mendapat berkat.

Alhamdulillah, pada hari ini terasa ingin berkongsi sedikit bingkisan sekadar perkongsian untuk kita semua. Idea ini terhasil selepas selesai menonton cerita dari Jepun, iaitu “My Boss My Hero” atau ringkasnya MBMH. Terasa seronok tatkala menyaksikan cerita itu kerana ia banyak mengajar tentang erti sebuah persahabatan dan pahit manis bersama sahabat.

‘SAHABAT’… Bercakap tentang sahabat ini, sudah pasti setiap manusia ada sahabat mereka tersendiri. Ya. Memang mudah mencari rakan. Namun sukar mencari sahabat. Sahabat yang sentiasa bersama tatkala susah dan senang. Tatkala mereka diperlukan.

Pada diri ini, sahabat membawa erti seseorang yang sangat jujur serta setia bersama ketika susah dan senang dan juga seseorang yang boleh dipercayai dan boleh berkongsi rahsia serta menghormati sahabatnya yang lain.

Wah! Bila membaca definisi sahabat di atas, tentu sukar untuk kita menjadi seperti itu. Ya. Memang sukar,dan oleh sebab itulah sukar kita mencari seseorang yang layak bergelar sahabat. Maaf. Bukanlah diri ini berniat mengata antum semua tidak layak bergelar sahabat.

Sahabat-sahabat sekalian, cuba renung sebentar. Kita selalu mengidamkan seorang sahabat yang jujur, ikhlas, setia, hormat pada kita, dan sentiasa bersama apabila susah atau senang. Namun, pernahkah terfikir adakah kita telah menjadi seorang sahabat seperti yang orang lain inginkan? Tentu sukar menjadi sahabat sempurna. Namun, tiada manusia yang sempurna di dunia milik Allah ini. Setiap manusia pastinya ada kekurangan dan kelebihan masing-masing.
Sebenarnya, sebelum kita mencari sahabat idaman, diri sendiri terlebih dahulu menjadi sahabat yang orang lain inginkan.

                                                                sekadar gambar hiasan
Sahabat,
Kehadiranmu adalah satu anugerah
Kehadiranmu adalah satu rahmat
Kehadiranmu adalah satu cahaya
Kehadiranmu adalah satu permulaan

Sahabat,
Dikaulah teman dikala ku kesepian
Dikaulah penghibur dikala ku kesedihan
Dikaulah penawar dikala ku kesakitan
Dikaulah inspirasi dikala ku kebuntuan

Sahabat,
Kita berjanji akan tetap bersama
Kita berjanji akan berjuang bersama
Kita berjanji menempuh segala suka duka
Kita berjanji mengharung segalanya bersama

Sahabat,
Akan ku pegang janji ini
Akan ku sematkan janji ini di lubuk hati

Sahabat,
Andai takdir telah menetapkan perpisahan antara kita
Usahlah dikau lupa akan daku
Pahatkan memori kita di qalbumu…

Bingkisan di atas merupakan sebuah sajak hasil perahan idea sendiri. Alhamdulillah, sajak ini menceritakan luahan hati seorang sahabat kerana bersyukur dikurniakan seseorang yang laya bergelar sahabat. Dan ikatan persahabatan itu tetap kukuh malah makin kukuh kerana janji-janji yang dipegang agar sentiasa bersama dikala susah dan senang, dalam kesedihan dan kegembiraan. Jika sesuatu yang memaksa untuk kami berpisah, diri ini tetap redha dengan ketentuan-Nya. Apa yang diharapkan adalah agar segala memori yang telah dirakam akan disimpan di dalam folder kenangan indah di lubuk hati kami, insyaAllah..

 Alhamdulillah, sekian sahaja dari diri ini menceritakan tentang sahabat. Sayangilah sahabat.
“Tidak sempurna iman seseorang itu sehingga dia mengasihi saudaranya seperti dia mengasihi dirinya sendiri”

Wallahu ‘alam…