Aku Musafir

Aku Musafir

Tuesday, November 8, 2011

Luahan Sahabat...


Assalamualaikum wbt dan Salam Aidiladha…

Alhamdulillah wa syukur lillah kerana dapat melakar kenangan bersama keluarga dan dapat menikmati kehidupan dengan senyuman dan ketenangan dan insyaAllah ketenangan ini akan berterusan hingga ke ‘sana’. Bingkisan hari ini ditemani bersama hujan rahmat yang turun membuatkan terasa kedinginan dan sedikit sejuk. Namun, ia bukanlah penghalang kepada manusia untuk bekerja mencari rezeki halal dan mendapat berkat.

Alhamdulillah, pada hari ini terasa ingin berkongsi sedikit bingkisan sekadar perkongsian untuk kita semua. Idea ini terhasil selepas selesai menonton cerita dari Jepun, iaitu “My Boss My Hero” atau ringkasnya MBMH. Terasa seronok tatkala menyaksikan cerita itu kerana ia banyak mengajar tentang erti sebuah persahabatan dan pahit manis bersama sahabat.

‘SAHABAT’… Bercakap tentang sahabat ini, sudah pasti setiap manusia ada sahabat mereka tersendiri. Ya. Memang mudah mencari rakan. Namun sukar mencari sahabat. Sahabat yang sentiasa bersama tatkala susah dan senang. Tatkala mereka diperlukan.

Pada diri ini, sahabat membawa erti seseorang yang sangat jujur serta setia bersama ketika susah dan senang dan juga seseorang yang boleh dipercayai dan boleh berkongsi rahsia serta menghormati sahabatnya yang lain.

Wah! Bila membaca definisi sahabat di atas, tentu sukar untuk kita menjadi seperti itu. Ya. Memang sukar,dan oleh sebab itulah sukar kita mencari seseorang yang layak bergelar sahabat. Maaf. Bukanlah diri ini berniat mengata antum semua tidak layak bergelar sahabat.

Sahabat-sahabat sekalian, cuba renung sebentar. Kita selalu mengidamkan seorang sahabat yang jujur, ikhlas, setia, hormat pada kita, dan sentiasa bersama apabila susah atau senang. Namun, pernahkah terfikir adakah kita telah menjadi seorang sahabat seperti yang orang lain inginkan? Tentu sukar menjadi sahabat sempurna. Namun, tiada manusia yang sempurna di dunia milik Allah ini. Setiap manusia pastinya ada kekurangan dan kelebihan masing-masing.
Sebenarnya, sebelum kita mencari sahabat idaman, diri sendiri terlebih dahulu menjadi sahabat yang orang lain inginkan.

                                                                sekadar gambar hiasan
Sahabat,
Kehadiranmu adalah satu anugerah
Kehadiranmu adalah satu rahmat
Kehadiranmu adalah satu cahaya
Kehadiranmu adalah satu permulaan

Sahabat,
Dikaulah teman dikala ku kesepian
Dikaulah penghibur dikala ku kesedihan
Dikaulah penawar dikala ku kesakitan
Dikaulah inspirasi dikala ku kebuntuan

Sahabat,
Kita berjanji akan tetap bersama
Kita berjanji akan berjuang bersama
Kita berjanji menempuh segala suka duka
Kita berjanji mengharung segalanya bersama

Sahabat,
Akan ku pegang janji ini
Akan ku sematkan janji ini di lubuk hati

Sahabat,
Andai takdir telah menetapkan perpisahan antara kita
Usahlah dikau lupa akan daku
Pahatkan memori kita di qalbumu…

Bingkisan di atas merupakan sebuah sajak hasil perahan idea sendiri. Alhamdulillah, sajak ini menceritakan luahan hati seorang sahabat kerana bersyukur dikurniakan seseorang yang laya bergelar sahabat. Dan ikatan persahabatan itu tetap kukuh malah makin kukuh kerana janji-janji yang dipegang agar sentiasa bersama dikala susah dan senang, dalam kesedihan dan kegembiraan. Jika sesuatu yang memaksa untuk kami berpisah, diri ini tetap redha dengan ketentuan-Nya. Apa yang diharapkan adalah agar segala memori yang telah dirakam akan disimpan di dalam folder kenangan indah di lubuk hati kami, insyaAllah..

 Alhamdulillah, sekian sahaja dari diri ini menceritakan tentang sahabat. Sayangilah sahabat.
“Tidak sempurna iman seseorang itu sehingga dia mengasihi saudaranya seperti dia mengasihi dirinya sendiri”

Wallahu ‘alam…

No comments:

Post a Comment