Aku Musafir

Aku Musafir

Saturday, November 19, 2011

Memandu Cinta Ke Destinasi Abadi


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh…
Sekadar renungan bersama agar terpandu dalam bercinta, insyaAllah..


Suka? Cinta? Tertarik? Apakah lagi kalimah yang bias menggambarkan perasaan remaja terhadap insan berlainan jantinan dengan mereka. Hakikat ini mungkin dinafikan oleh masing-masing yang telah melintasi gerbang keremajaan. Tak rasa? Tipulah! Saya juga remaja, bisa memahami gelodak rasa remaja semua. Hanya kesan tahap pendidikan yang membezakan metod remaja dalam melayani perasaan ini.
Kenapa asyik-asyik cinta yang dikaitkan dengan remaja? Anda yang bernama remaja pastikah perasaan itu cinta? Jangan-jangan tertarik kepada si dia lalu dimudah-mudahkan menjadi terma cinta. Tertarik itu biasalah, kerana paras fizikal yang bisa ternilai oleh retina mata. Saya tak nafikan perasaan cinta itu wujud dan amat suci lagi tinggi nilainya tapi janganlah senang-senang anda merendah-rendahkannya.

Dengan Cinta Kenal Pencipta,
Dengan Cinta Kenal Rasul-Nya,
Kerana Cinta Kenal Saudara,
Bahagia Keluarga..

“Awak ada awek?”
“Tu mesti secret admirer ?”
“Ish, takkan tak ada teman istimewa kot, yang bergayut sokmo tu?”
“Ni dah masuk U ni, mesti dah ada..?”

Perbualan biasa yang sudah lali di telinga, entah-entah anada yang terkena. Nasiblah kalau begitu, saya juga remaja yang sudah faham kehidupan ini tapi saya juga masih mendalaminya kerana kehijauan kematangan saya dalam alam ini.
Satu ketika (atau beberapa ketika) terdetik di hati saya, “Orang lain masing-masing dah ada. Aku ni cam tu juga?” Pernah anda sedemikian? Pastinya, kan! Lalu kawan-kawan yang berlainan jantina dengan anda yang anda minati cuba anda awekkan atau diawekkan agar anda di mata orang lain seolah-olah Nampak telah berpunya. Lalu bergayutlah atau anda digayutkan pada tika dan waktu yang tidak menentu, ataupun kalau yang agak sopan, mungkin berbunyilah nada mesej diterima pada telefon bimbit masing-masing.

Anda mungkin beranggapan ini hanya berlaku di kalangan mereka yang kurang pendidikan deeninya, lalu saya menyanggah sedangkan nisa’ yang dahulunya sewaktu di sekolah agama agak syadid pada rijal yang dari sekolah deeni yang hanya satu kaum sahaja.

Apapun usahlah didebatpanjangkan perkara ini kerana ada perkara yang lebih aula yang ingin saya bawakan. Kita sibuk berbicara pasal perasaan kita terhadap golongan yang berlainan jenis ini, apakah kita memandang jauh perasaan kita ini terhadap dia? Apa? Tak faham?! Senang cerita, bersediakah kita melayari gerbang perkahwinan bersamanya? Mana boleh, awal lagi. Belajar tak habis lagi, dah gatal nak fikir pasal kahwin! Pasti itulah jawapan yang keluar dari mulut yang banyak. Dah tu, bercouple? Tu tak gatal? Bergayut, berSMS tu tak masuk kategori gatal? Jawablah sendiri.

Minda anda nampaknya sudah terasak dengan pelbagai tanda soal, apa penulis ini merepek tak sudah-sudah ni? Marilah kembali kepada perkara penting yang ingin saya sampaikan tentang melayari gerbang perkahwinan. Anda tentu bersetuju dengan saya bahawa perkahwinan yang diinginkan hanyalah sekali dalam hidup yakni bahagia berkekalan hingga ke jannah abadi. Namun, perbuatan anda sekali-kali tidak mengizinkan perkara itu berlaku, bagaimana? Mari kita fikirkan.

Anda sibuk mencari pasangan bercinta? Asyik sekali bercouple? Atau setidak-tidaknya berkawan mesra dengan rakan yang menarik perhatian anda, namun anda sama sekali tidak bersedia untuk memperzaujahi atau memperzauji mereka. Sedangkan dalam masa yang sama anda terus bermain perasaan dengan mereka, kononnya sedang bercinta, namun mungkin juga memang anda sedang bercinta, jadi ke mana hendak dibawa cinta itu? Adakah sekadar untuk dibuai-buai sebagai memenuhi tuntutan remaja atau sekadar motivasi pendorong semangat belajar? Lantas anda terus hanyut dibawa mainan cinta yang entah nak dibawa ke mana.

Ayuh, bangunlah! Bangkitlah dari tidurmu, usah dibuai-buai lagi dengan perasaan itu! Tak bermaknanya andai anda terus sebegini. Mari ikut saya membumikan perasaan suka, kasih, tertarik dan cinta anda itu daripada terus melayang-layang tidak berpijak di bumi hakiki. Pandang jauh ke hadapan, layakkah dia itu menjadi pasangan hidup anda untuk ke akhir hayat anda? Menepatikah dia cirri-ciri teman hidup yang anda idam-idamkan? Mungkin ya, mungkin juga tidak. Tetapi yang lebih utama, adakah dia memenuhi cirri-ciri zaujah/zauj yang dikehendaki oleh agama, lantaran tidak ada manfaatnya dia penuhi cirri-ciri kemahuan anda namun tidak punya titik pertemuan dengan kehendak deeni. Bagaimana? Dapat?

Kemudian, lihat diri anda pula. Sejauh mana anda memenuhi nilai zaujah/zauj yang dikehendaki agama; solat jemaahnya, akhlak peribadi, ilmu pengetahuan dan sebagainya yang amat penting dalam kehidupan berkeluarga. Perkara yang saya utarakan ini tidak semestinya hanya kepada mereka yang sedang hanyut dalam rayuan rindu, bahkan kepada semua remaja teruna yang bakal menemukan pasangan hidup yang sekufu.

Andai jawapannya positif, Alhamdulillah, kekalkan agar keredhaan-Nya sentiasa menyirami hidup anda. Bagaimana kalu jawapannya negative? Saya pasti ramai yang berjawapankan ini,kan? Ayuh, sama-sama telusuri jalan ini agar kita bersedia menghadapi hidup masa muka nanti.

Pertama, persediaan rohani. Bagi rijal yang bakal memegang tampuk keluarga, pastikan ilmu telah kemas di dada, kalau belum bagaimana? Carilah! Ilmu diperoleh bukan sekadar dalam kelas, malah melalui kuliah-kuliah, pembacaan, pendengaran, dan apa jua cara yang halal mendatangkan ilmu yang hidup. Pastilah ilmu fardhu ain, itulah yang utama kerana setidak-tidaknya dapat membimbing anggota keluarga menuju cara hidup yang selari dengan Kalam Illahi, jangan nanti apabila isteri ajak solat berjemaah diarahkan isterinya pula jadi imam. Tauhid juga kenalah kukuh, tiada gunanya amalan tunggang-terbalik andai berpaksikan tauhid yang tidak kena dengan Syariat. Hidup berpandukan tauhid yang suci menempah redha dan rahmat Illahi. Ingat!! Tauhid kita bersaksikan Laa Ilaha Ill Allah Muhammadur Rasulullah; tiada kesyirikan dalam hidup dan pegangan agama yang tepat berdasarkan ajaran Nabi-Nya, Rasulullah s.a.w. Amnya, pegangan agama hendaklah mantap kerana itulah yang akan memimpin anda menakhodai bahtera rumah tangga, mengharung rebut gelora, dan badai yang melanda.

Nisa’ juga begitu, iilmu rumah tangga hendaklah mantap dalam diri, kalau tak reti memasak, belajar-belajarlah memegang senduk. Nisa’ yang pandai memasak tentulah memikat suaminya untuk tidak bersantap di luar rumah, lantas mengikat kasih saying dan mawaddah antara kedua-duanya, berkat air basuhan isteri. Itulah kunci kasih dan saying selepas akad berlangsung (selepas kahwin). Tidak sahaja ilmu memasak, ilmu memikat suami (bukan menunduk suami!!) juga tak kurang penting; bagaiman layanan terhadap suaminya, kerenahnya, amarahnya, tak kurang juga cintanya. Jika belum bersedia menjadi ibu yang penyayang, tak usahlah berkahwim dahulu. Belajar dahulu ilmu membelai dan memujuk kanak-kanak dengan rangsangan-rangsangan motivasi. Setakat mengherdik, mencubit, memukul, menampar, dan mengikat di pangkal pokok, orang yang tinggal di gua batu pun bisa melakukannya. Sama jua kaedahnya, sama ada melalui kuliah-kuliah agama, pembacaan ataupun paling senang tanya ummi anda sendiri.

Kedua, persediaan fizikal. Bagi rijal tentulah fizikal yang mantap lagi sihat serta fikiran yang matang. Belajar-belajarlah mematangkan diri dan mendikarikan diri anda dalam membuat keputusan atau dalam apa-apa yang memerlukan pertimbangan. Not to be matured, but have to be seen matured. Jangan nanti dikata orang, perangai macam budak-budak lagi gatal dah nak kahwin! Kalau zaman sekarang, kemahiran memandu macam satu kewajipan, mahirkan diri anda dengan itu dalam sibuk-sibuk bercouple itu, namun bukanlah satu kemestian mempunyai kemahiran memandu, sekadar mengambil contoh yang relevan.

Nisa’ macam mana pula? Fikrah dan minda perlu mantap juga, jangan nanti asyik ke hulu ke hilir dengan anak patung lagi. Selain itu, diri hendaklah benar-benar bersedia sebagai isteri dari segi fizikal dan mental. Saya tak nak hurai panjang mengenai bab fizikal ini, seharusnya anda sudah bisa mengerti maksud saya. Dari segi mental pula, anda harus bersedia menerima kehadiran insan asing yang tidak pernah menyentuh anda secara halal yang berkuasa memindahkan aulawiyat ketaatan anda daripada ibu bapa kepadanya. Malah, syurga anda juga berpindah tapak kaki sejak rijal itu mengqabulkan aqad dari pihak wali.

Apa-apa yang saya coretkan ini mungkin agak celaru namun itulah yang cuba disampaikan iaitu cara kita membumikan rasa fitrah remaja kita, tertarik, kasih, cinta, dan sebagainya agar nanti tidak mensia-siakan masa kita. Mungkin ada di kalangan anda yang hanya mahu menumpukan perhatian pada pelajaran dahulu baru memikirkan soal hai ini, saya katakana anda juga ada perasaan. Mengapa mahu diderakan perasaan itu? Bukan mahu mengajak anda bercouple atau memadu kasih, cuma ingin mengajak anda bersedia awal sebagai meraikan perasaan itu. Mengapa? Takut terumbang-ambing antara pelajaran dan ini? Saya katakan, bahawa minda kita begitu hebat cuma kita sahaja yang gagal menggunakannya dengan cemerlang. Salah satu kaedah mencemerlangkan adalah dengan membuat beberapa kerja dengan serentak. 

Coretan ini untuk semua yang bergelar remaja baik yang sudah mempunyai pasangan (tak taulah serius atau tak) mahupun yang masih berstatus tunggal. Teruskanlah dengan apa-apa status yang anda pegang sekarang, cuma saya mengajak diri saya dan saudara-saudari merealitikan fitrah remaja kita, tertarik, kasih dan cinta, dan sebagainya kelak nanti ia membumi pada tapak yang kukuh dan mantap. Teruskan belajar dan dalam masa yang sama buatlah persediaan seperti yang saya nyatakan di atas. Bagi yang sedang memadu kasih, atau melayan perasaan tertarik mereka itu, jadikanlah perasaan itu batu itu diloncati untuk mencapai prestasi pelajaran yang memberangsangkan dan jangan lupa menyediakan tapak kukuh kepada perasaan itu dengan persediaan di atas. Jodoh kita hanya Dia yang Maha Mengetahui, namun biarlah kita bersedia sedari awal fitrah remaja kita, tertarik, kasih, cinta dan sebagainya itu menghambur.

Saya bukanlah penulis yang baik andai minda anda berpusing-pusing untuk memahami tumpahan pena ini namun perasaan yang membuak-buak untuk member mesej ini menggerakkan jari-jari saya menyusun langkah di atas papan kekunci menulis coretan ini. Semuanya lahir dek situasi dan kondisi yang memang kita sebagai remaja tidak dapat lari daripadanya iaitu mengenai berpasangan di usia muda, mungkin tidak membawa ke jinjang pelamin. Namun lalainya remaja kita dalam menangani perkara ini amat membimbangkan. Kondisi ini sudah menjadi kebiasaan malah kadang-kadang bagaikan wajib pula, maka daripada kita terus tersepit bagaikan anjing, lebih baik mencari jalan keluar yang diredhai. Terpulanglah kepada anda untuk menelusurinya atau tidak. Cuma saya membantu membuka jalan, dan pastilah saya juga akan cuba melaluinya dengan sebaik mungkin selaras dengan subjek yang saya sampaikan agar nanti tidak terkutuk lantaran menyuruh perkara yang tidak terkotakan.

Moga Allah merahmati anda dan juga saya dan saya pohon agar tumpahan tinta ini membawa faedah untuk kita bersama. Baik dan buruk semuanya daripada-Nya, saya hanya penari jari di papan kekunci, salah silap maaf dipohon.

Wallahu a’alam


No comments:

Post a Comment