Aku Musafir

Aku Musafir

Friday, July 5, 2013

Mosque Tour Guide~ AKu Datang!!

Assalamualaikum wbt dan salam mahabbah.. =)

Alhamdulillah akhirnya dapat juga mengintai tirai blog tersayang. Sekian lama tidak melayan blog ini mungkin sudah berdebu agaknya. Bukan tidak mahu, tapi masa tidak membenarkan diri ini menjenguk tirai blog disebabkan dengan kerja-kerja, assignment, aplikasi dakwah yang perlu dibuat, perbentangan, tesis dan macam-macam lagi. Kali ini ditambah pula dengan program yang bakal diadakan di negeri sebelah utara. 


Untuk entri kali ini, aku ingin berkongsi tentang pengalaman pertama mengikuti Mosque Tour Guide di Masjid Kristal. Inilah aplikasi yang dimaksudkan tadi.  Sebut sahaja Masjid Kristal, pasti pembaca-pembaca semua dapat membayangkan macam mana bentuk masjid tersebut dan lokasi masjid ini berada. Mungkin ada sebahagian yang tidak tahu lokasinya, tak mengapalah. Kerna bukan niatku untuk menceritakan lokasi masjid ini berada, tapi apa yang ingin dikongsikan kali ini adalah PENGALAMAN PERTAMA MENJADI MOSQUE TOUR GUIDE. Mosque Tour Guide ini merupakan salah satu daripada aplikasi dakwah yang kami perlu buat berdasarkan kursus yang kami ambil.


Pada hari Selasa yang lalu, aku dan 39 orang sahabat sekelas menaiki bas untuk menuju ke Masjid Kristal yang terletak di salah sebuah pulau yang terdapat di Kuala Terengganu. Kami bertolak dari bumi ilmu pada jam 12.30 tengahari dan tba disana pada jam 1.30 petang. Alhamdulillah semasa kami tiba di sana, azan Zohor berkumandang. Tanpa melengahkan masa, kami terus menuju ke masjid untuk solat berjemaah. Usai solat, kami didatangi sekumpulan pelancong Cina dari Melaka. Pada mulanya, aku tidak berani dan tidak tahu bagaimana untuk melakukannya. Jadi, aku hanya melihat bagaimana beberapa sahabat-sahabatku meng'handle' pelancong-pelancong ini. Aku hanya melihat dan memerhati. 


Setelah beberapa minit mereka bersama pelancong-pelancong ini, ustazah memberi sedikit taklimat @ briefing tentang bagaimana caranya melakukan kerja-kerja ini. Tidak lama kemudian, datang pula tiga orang pelancong berbangsa Cina. Kali ini mereka datang dari Kuala Lumpur. Dua orang wanita dan seorang lelaki. Salah seorang daripada pelancong wanita itu sebaya dengan aku. Aku cuba memberanikan diri untuk menguruskan pelancong-pelancong ini. Mujurlah mereka pandai berbahasa Melayu. Jadi, mudah bagi aku untuk berinteraksi dengan mereka. Pertama sekali sebelum masuk ke dalam masjid, setiap pelancong akan dipakaikan jubah dan tudung yang disediakan khas bagi mereka yang tidak menutup aurat. Setelah itu, aku dan sahabat-sahabatku mengajak mereka masuk ke dalam. Kami menjelaskan satu persatu tentang keunikan seni bina masjid ini serta kami selitkan juga tentang keindahan Islam kepada mereka. Dengan harapan agar mereka tertarik dan berminat untuk mengetahui dengan lebih mendalam tentang Islam. 


Pelancong wanita yang sebaya dengan aku ialah Athina. Beliau merupakan pelajar yang menuntut di Hong Kong. Aku sempat bertanya tentang pandangan beliau apabila memasuki masjid ini, katanya, "Ini kali pertama saya masuk masjid." sambungnya lagi, "Peaceful." Itulah jawapan yang terpancul dari bibirnya apabila aku bertanya tentang perasaan beliau apabila memasuki masjid. Aku hanya tersenyum dan mengangguk tanda setuju. Tanpa melengahkan masa, aku dan sahabat menceritakan tentang azan, wudhu', cara solat dan juga tentang ka'abah. Setelah itu, ustazah pula mengambil alih tugas menjelaskan satu persatu tentang Islam. Aku hanya menuruti dari belakang sekaligus aku dapat belajar dengan lebih dalam bagaimana caranya untuk menjadi Mosque Tour Guide. 


Kami sempat bergambar sebelum mereka pulang. Setelah sekian lama kami melakukan tugas-tugas ini, azan berkumandang menandakan masuk waktu Asar. Kami solat berjemaah. Usai solat, kami terus pulang ke bumi ilmu. Sewaktu dalam perjalanan pulang, pak cik driver bas berhenti di gerai keropok lekor. Kaum muslimin turun dan menjamu keropok lekor manakala muslimat pula hanya membeli keropok lekor dan menjamu selera dalam bas. 


Apa yang aku dapat simpulkan tentang pengalaman ini, bukan mudah menjadi pendakwah. Banyak perkara yang kita perlu ketahui. Ya!! Tugas dai'e bukanlah mudah. Aku harap aku akan dapat peluang kedua ketiga dan seterusnya untuk aku meneruskan kerja-kerja ini. InsyaAllah. 



gambar sekadar hiasan

No comments:

Post a Comment