Alhamdulillah wa syukur lillahi ta'ala kerana diri ini masih berkesempatan menikmati barakahnya ramadhan dan dapat menikmati kehidupan yang sementara ini. Suatu hari nanti,pasti akan bercerai jasad dan nyawa seterusnya 'meneruskan' kehidupan di alam kedua. Hanya berbekalkan amalan yang disediakan sepanjang bermusafir di dunia ini. Rasanya belum terlambat lagi untuk ana mengucapkan SELAMAT MENYAMBUT BULAN RAMADHAN dan SELAMAT MENIKMATI RAMADHAN. Hari ini hari ke-10 seluruh umat Islam berpuasa. Alhamdulillah. Semoga kita semua dapat melakukan dan meningkatkan serta istiqamahkan amal ibadah yang kita lakukan sehingga akhir hayat,insyaAllah. Malam ini ana nak kongsi dengan pembaca-pembaca semua tentang kelebihan ketua segala bulan,yakni Ramadhan.
1. Bulan yang terpilih untuk melakukan ibadah puasa sebagai tanda kesyukuran kepada Allah atas nikmat-Nya. Firman Allah s.w.t., Ertinnya : " Wahai orang-orang yang beriman telah difardhukan puasa atas kamu sebagai mana telah difardhukan atas umat-umat sebelum kamu, mudah-mudahan kamu (dengan perantaraan puasa itu) memperoleh taqwa." (Al-Baqarah;183)
2. Bulan yang telah dipilih oleh Allah s.w.t. diadakan suatu malam yang sangat tinggi nilainya, iaitu Lailatul Qadar. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud : " Sesungguhnya telah datang kepadamu bulan Ramadhan bulan yang penuh berkat. Allah telah mengfardhukan atas kamu berpuasa didalamnya. Dibuka didalamnya segala pintu syurga, dikunci didalamnya segala pintu neraka, dan dibelenggu didalamnya segala syaitan. Didalamnya ada satu malam yang lebih baik dari seribu bulan (Lailatul Qadar). Barangsiapa tiada diberikan kebajikan malam itu, maka sesungguhnya tidak diberikan kebajikan kepadanya." (Hadis Riwayat Ahmad, An-Nasa'i dan Al Baihaqi dan Abu Hurairah)
3. Bulan yang dipilih untuk solat terawih dimalamnya. Solat terawih adalah solat sunat yang hanya ada di bulan Ramadhan. Sepanjang malam bulan Ramadhan disunatkan mengerjakan solat terawih secara berjemaah.
4. Bulan yang dipilih untuk kita memperbanyakkan amal ibadah, seperti membaca al-Quran, memperbanyakkan sedekah, solat sunat dan sebagainya.
5. Bulan yang berlakunya kemenangan dipihak Rasulullah s.a.w. menawan kota Makkah. Di saat itu berakhirlah penyembahan berhala disisi Ka'abah dan Makkah menjadi suci sebagaiman yang Allah s.w.t. kehendaki.
6. Berlakunya Nuzul Quran pada 17 Ramadhan yang disambut pada setiap tahun sebagai memperingati kesempurnaan al-Quran. Diturunkan kepada Rasulullah s.a.w.
7. Dipelihara dari dosa.
Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud : " Sembahyang lima waktu, jumaat ke jumaat, Ramadhan ke Ramadhan menutupi dosa-dosa yang dilakukan diantara, asal sahaja dijauhi segala dosa besar." (Riwayat Muslim dan Abu Hurairah)
8. Dibuka pintu syurga, ditutup segala pintu neraka. Syaitan dibelenggu.
Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud : " Pada suatu hari, aku berada disisi Uqbah bin Farqad sedang dia menceritakan tentang hal Ramadhan, maka datanglah kepada kami seorang lelaki dari sahabat Rasul. Setelah orang itu dilihat oleh Uqbah, dia pun merasa takut lalu berdiam diri. Maka orang itu menceritakan tentang hal Ramadhan, katanya : " Saya mendengar Rasulullah s.a.w. berkata : " Didalam bulan Ramadhan dikunci segala pintu neraka, dibuka segala pintu syurga dan dibelenggu segala syaitan." Berkata Nabi lagi,
" Seorang Malaikat berseru, Wahai segala orang yang menghendaki kebajikan bergembiralah kamu dan ai orang yang menghentikan kejahatan tahanlah diri kamu. "Malaikat terus menerus berseru, sehingga habis bulan Ramadhan." (Riwayat Ahmad dan Nasa'i)
9. Mendapat perhatian, keutamaan dan ganjaran dari Allah s.w.t.
Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud : " Rasulullah s.a.w. bersabda, telah diberikan kepada umatku dibulan Ramadhan lima perkara yang belum pernah diberikan kepada seseorang nabi sebelumku ;
* Dipermulaan Ramadhan Allah melihat kepada umatku, barangsiapa Allah melihat kepadanya,nescaya tidak diazabnya selamanya.
* Bau mulut mereka diwaktu petang lebih wangi disisi Allah dari bau kasturi.
* Para Malaikat memohon ampunan untuk mereka disetiap hari dan malam.
* Allah menyuruh kepada syurganya dan berkata kepadanya, " Bersiaplah kamu dan berhiaslah kamu
untuk hamba-hamba-Ku. Mereka hampir beristirehat dari kepayahan dunia, menuju ke negeri-Ku dan
kemuliaan-Ku.
* Pada akhir malam Ramadhan, Allah mengampuni semua dosa mereka. Seorang lelaki dari sahabat
bertanya : " Apa itu Lailatul Qadar ya Rasulullah?" Nabi menjawab : " Apakah engkau tidak melihat
kepada pekerja-pekerja yang bekerja. Apabila mereka telah selesai dari pekerjaan mereka, nescaya
disempurnakanlah upah-pah mereka." ( Riwayat Ahmad, Al-Bazzar,Al-Baihaqi dari Jabir)
10. Sejarah berlaku peperangan Badar Al-Qubra. Kemenangan pihak Islam menjadi penentu sejarah kegemilangan Islam.
Nyata sekali terlalu banyak keistimewaan dan kebajikan dibulan Ramadhan. Jadi tidak hairanlah para sahabat dan salafussoleh begitu merindukan saat-saat dibulan Ramadhan.
Wahai sahabat-sahabatku,beramallah pada bulan Ramadhan seperti Ramadhan kali ini Ramadhan terakhir...
No comments:
Post a Comment